Thursday, April 15, 2010

kreativiti dalam seni visual

  • Pendidikan berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.
  • Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.
  • Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini

kepentingan kreativiti dalam pendidikan seni visual

  • Antara peranan Seni Visual dalam pendidikan pertama ialah memupuk kreativiti kanak-kanak. Sifat semula jadi bagi seseorang kanak-kanak ialah memerlukan perhatian, belaian, sentuhan dan sebagainya. Tanpa kita sedari perkembangan seni tampak minda kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali. Sebelum meningkat remaja, kanak-kanak mengalami tiga tahap perkembangan seni tampak. Peringkat manipulatif sekitar umur 2 hingga 5 tahun. Peringkat melakar simbol-simbol berumur 5 hingga 9 tahun dan peringkat pra-remaja iaitu sekitar umur 10 tahun hingga 13 tahun. Berdasarkan kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak. Perbezaan mungkin timbul ialah berdasarkan factor persekitaran, bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan. Melalui proses membentuk kreativiti dari diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik. (Laura Chapman, 1978)
  • Peranan kedua memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Apabila mencapai umur remaja sekitar 10 hingga 15 tahun, tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar itu sudah mulai menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Pada peringkat ini, sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang. Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965) pada peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting. Pelajar akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses membesar mereka. Persaingan di kalangan pelajar berlaku peringkat ini. Pelajar yang lemah akan mengalami masalah yang dinyatakan tadi. Sekiranya dibimbing dan diberi penerangan yang betul, kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkabur. Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif. Mereka akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan subjek seni itu.
  • Ketiga ialah melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita amat memerlukan ramai tenaga professional. Jurutera, arkitek, doktor, saintis dan penguam merupakan bidang kerjaya yang amat diperlukan oleh negara. Akibat kekurangan itu, kita terpaksa mengimport dari luar negara. Dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar yang memilih bidang ini boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru. Menjadi seniman sepenuh masa contohnya. Walaupun negara kita masih baru dalam bidang ini, namun telah terdapat ramai artis yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion sepenuh masa.
  • Keempat peranan seni visual dengan cara memupuk dan mendidik sifat kecintaan pada seni dan estetika. Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni ini perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Pada hari ini melalui sebuah agensi kerajaan, kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan. Antaranya program Tahun Melawat Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Selain daripada itu, ada pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong. Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiatkan lagi. Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh. Terutama sekali ialah kesan penghayatan masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan itu.
  • Kelima memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat. Masyarakat kita memang kaya dengan khazanah warisan budaya. Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita. Pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan atau tekstil, hamparan tikar mengkuang atau pandan, anyaman kelarai, seni binaan rumah kayu atau kampung dan seterus seni budaya sopan santun dan adat istiadat. Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hamper dilupakan. Tidak banyak lagi generasi hari ini yang mengamalkan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut kedatangan tetamu. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan itu. Seni itu wajar dipertahankan daripada hilang terus atau mengalami kepupusan. Terdapat banyak contoh yang boleh dijadikan rujukan. Seni kraftangan umpamanya seperti seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelerai. Seni tekat, tembikar dan banyak lagi contoh yang bileh diketengahkan. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini.
  • Peranan keenam ialah melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri. Budaya menunjukkan bangsa. Kata-kata ini jelas kepada kita bahawa sesebuah masyarakat itu mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Mengekalkan kebudayaan mereka supaya ia dikenali dan dihormati bukanlah satu tugas yang mudah. Kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya. Ada yang berpendapat, mengenali sesuatu bangsa itu lebih mudah dari mengenali budayanya. Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha untuk mengekalkan seni, budaya dan warisannya. Kita mestilah meletakkan tanggungjawab di bahu masyarakat akan kepentingan nilai seni dan estetika. Kefahaman dan tanggungjawab ini perlu dipupuk di peringkat awal lagi. Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang paling wajar. Peranan murid, guru atau pendidik, pensyarah, dan pihak kementerian pendidikan amat penting untuk merealisasikan perkara ini. Justeru, selain apa yang disebutkan tadi, semua masyarakat juga boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan kea rah cita-cita yang murni ini.

Monday, April 5, 2010

Malas Belajar

Masalah malas sering menghantui jiwa seseorang. Saya percaya bukan sedikit yang alami benda ni tetapi ramai yang mengalaminya. Bukan juga di Malaysia malah diseluruh dunia, bukan juga pelajar malah juga orang yang dah bekerja, bos mahupun kuli, si alim mahupun si jahil, si baik mahupun si jahat, isteri atau suami, malah orang tua atau budak-budak juga alami benda ni.

Perasaan malas sering berlaku dalam diri saya pada setiap semester. Hal ini kerana saya tidak tahu kenapa dengan diri saya yang suka membuat kerja lain dan lalai dalam segala aspek antaranya tugasan, belajar dan sebagainya. Ini mengakibatkan saya sangat tertekan pada akhir semester untuk menyiapkan segala tugasan yang belum siap. Saya seringkali memikirkan tentang diri saya dan bertafakur kenapa dengan diri saya ini yang menyebabkan terjadinya perasan malas yang tereruk ini. Kadang-kadang saya cukup kecewa dengan diri saya kerana asyik tertidur dan malas belajar. Justeru, saya juga cuba menguatkan diri untuk belajar dan menyiapkan tugasan dengan awal tetapi disebabkan sifat malas saya begitu kuat menghantui diri saya, saya terus malas dan asyik tertidur .

Perasaan malas saya cukup mendalam dan memang sesiapa pun tidak mampu untuk membuatkan perasan malas saya hilang. Saya juga cukup kecewa dan selalu tertekan pada diri saya yang mempunyai masalah seperti ini. Pada setiap hari saya berfikir dan cuba untuk mengubah akan tetapi saya lemah dan tidak mampu untuk mengubahnya. Jika masalah saya seperti ini berlanjutan, saya yakin diri saya tidak akan berjaya dalam hidup. Justeru, saya tidak sanggup untuk melaluinya dan saya mahukan diri saya bangkit dari perasaan malas ini. Saya percaya dengan perasaan malas saya ini boleh membuatkan orang lain benci dan tidak suka kepada saya. Oleh itu, ada juga saya cuba bersemangat dalam diri saya untuk membuat sesuatu perkara dengan cepat supaya saya tidak tertekan tetapi itu hanya separuh jalan. Orang lain tidak mampu untuk menolong masalah yang saya sering hadapi, kerana masalah ini memang payah untuk di hapuskan. Saya amat memerlukan pertolongan.....