Thursday, April 15, 2010

kepentingan kreativiti dalam pendidikan seni visual

  • Antara peranan Seni Visual dalam pendidikan pertama ialah memupuk kreativiti kanak-kanak. Sifat semula jadi bagi seseorang kanak-kanak ialah memerlukan perhatian, belaian, sentuhan dan sebagainya. Tanpa kita sedari perkembangan seni tampak minda kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali. Sebelum meningkat remaja, kanak-kanak mengalami tiga tahap perkembangan seni tampak. Peringkat manipulatif sekitar umur 2 hingga 5 tahun. Peringkat melakar simbol-simbol berumur 5 hingga 9 tahun dan peringkat pra-remaja iaitu sekitar umur 10 tahun hingga 13 tahun. Berdasarkan kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak. Perbezaan mungkin timbul ialah berdasarkan factor persekitaran, bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan. Melalui proses membentuk kreativiti dari diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik. (Laura Chapman, 1978)
  • Peranan kedua memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Apabila mencapai umur remaja sekitar 10 hingga 15 tahun, tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar itu sudah mulai menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Pada peringkat ini, sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang. Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965) pada peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting. Pelajar akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses membesar mereka. Persaingan di kalangan pelajar berlaku peringkat ini. Pelajar yang lemah akan mengalami masalah yang dinyatakan tadi. Sekiranya dibimbing dan diberi penerangan yang betul, kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkabur. Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif. Mereka akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan subjek seni itu.
  • Ketiga ialah melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita amat memerlukan ramai tenaga professional. Jurutera, arkitek, doktor, saintis dan penguam merupakan bidang kerjaya yang amat diperlukan oleh negara. Akibat kekurangan itu, kita terpaksa mengimport dari luar negara. Dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar yang memilih bidang ini boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru. Menjadi seniman sepenuh masa contohnya. Walaupun negara kita masih baru dalam bidang ini, namun telah terdapat ramai artis yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion sepenuh masa.
  • Keempat peranan seni visual dengan cara memupuk dan mendidik sifat kecintaan pada seni dan estetika. Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni ini perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Pada hari ini melalui sebuah agensi kerajaan, kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan. Antaranya program Tahun Melawat Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Selain daripada itu, ada pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong. Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiatkan lagi. Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh. Terutama sekali ialah kesan penghayatan masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan itu.
  • Kelima memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat. Masyarakat kita memang kaya dengan khazanah warisan budaya. Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita. Pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan atau tekstil, hamparan tikar mengkuang atau pandan, anyaman kelarai, seni binaan rumah kayu atau kampung dan seterus seni budaya sopan santun dan adat istiadat. Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hamper dilupakan. Tidak banyak lagi generasi hari ini yang mengamalkan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut kedatangan tetamu. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan itu. Seni itu wajar dipertahankan daripada hilang terus atau mengalami kepupusan. Terdapat banyak contoh yang boleh dijadikan rujukan. Seni kraftangan umpamanya seperti seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelerai. Seni tekat, tembikar dan banyak lagi contoh yang bileh diketengahkan. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini.
  • Peranan keenam ialah melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri. Budaya menunjukkan bangsa. Kata-kata ini jelas kepada kita bahawa sesebuah masyarakat itu mesti meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Mengekalkan kebudayaan mereka supaya ia dikenali dan dihormati bukanlah satu tugas yang mudah. Kita boleh mengesan sesuatu bangsa melalui perkembangan budayanya. Ada yang berpendapat, mengenali sesuatu bangsa itu lebih mudah dari mengenali budayanya. Masyarakat yang memiliki jati diri yang kuat akan berusaha untuk mengekalkan seni, budaya dan warisannya. Kita mestilah meletakkan tanggungjawab di bahu masyarakat akan kepentingan nilai seni dan estetika. Kefahaman dan tanggungjawab ini perlu dipupuk di peringkat awal lagi. Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang paling wajar. Peranan murid, guru atau pendidik, pensyarah, dan pihak kementerian pendidikan amat penting untuk merealisasikan perkara ini. Justeru, selain apa yang disebutkan tadi, semua masyarakat juga boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan kea rah cita-cita yang murni ini.

No comments:

Post a Comment