Pemikiran kreatif sudah lama dibincangkan dan dibahaskan secara ilmiah. Sering kali terdapat perbezaan tanggapan pada pengertian ‘kreatif’ itu. Namun begitu, hal ini adalah perkara biasa dalam dunia akademik kerana masing-masing merupakan tokoh akademik, penyelidik, sarjana dan dapat mengemukakan konsep yang asli berdasarkan pemerhatian, pengalaman, kajian dan latar disiplin ilmu yang mereka miliki. Menurut kamus Webster’s (1976) pemikiran kreatif ialah, “The ability to bring something new existence”. Definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali. Apabila direnung dan difikirkan secara mendalam, dapatkah manusia yang mempunyai sifat yang lemah mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali, iaitu daripada ‘tiada’ kepada ‘ada’. Definisi ini seolah-olah melambangkan suatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat, dapat melakukan apa saja yang diinginkan. Malah, dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya menyelesaikan sesuatu masalah. Maka, dapatlah disimpulkan definisi ini terlalu ekstrem bagi menggambarkan kemampuan dan kebolehan manusia berkreativiti.